Tuesday, June 15, 2010

Lagenda Mahsuri

 Pada tanggal 11 ~ 14 Jun 2010, aku sempat berkunjung ke Langkawi bersama suami dan kakak kembarku sekeluarga. Sepanjang berada di sana, aku berasa sangat teruja kerana Langkawi adalah sebuah pulau yang sarat dengan misteri dan lagenda Mahsuri yang kini menjadi sejarah. Justeru, menjejaki Pulau Langkawi seakan tidak sempurna sekiranya tidak mengunjungi Kompleks Kota Mahsuri yang terletak di Ulu Melaka.
Aku memulakan penjelajahan ke Kompleks Kota Mahsuri yang menempatkan Makam Mahsuri yang dilengkapi dengan muzium, panggung teater dan rumah tradisional Kedah selain sebuah perigi yang digelar sebagai Perigi Mahsuri. Di sini aku dapat menyingkap sejarah Mahsuri.


Mahsuri merupakan anak pasangan Pandak Mayah dan Mak Andam yang dilahirkan pada penghujung kurun ke-18 Masihi di Kampung Ulu Melaka. Kehidupan dan sejarah Mahsuri menjadi lagenda pulau tersebut yang sememangnya terkenal dengan kisah misterinya.

Kata-kata terakhir Mahsuri amat masyhur kerana menjadi sumpahan. Mahsuri bersumpah untuk tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau mangsa fitnah dan mengutuk pulau Langkawi untuk tidak tenteram dan permai ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.

Menurut lagenda, Mahsuri mengalirkan darah berwarna putih kerana kata-katanya yang tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi. Deramang turut dibunuh kemudiannya. Mahsuri dikatakan meninggal pada tahun 1819 masihi bersamaan 1235 Hijrah. Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang setelah Kedah gagal menewaskan Siam. Selepas mengetahui akan hakikat tentang isterinya, dia kecewa lalu membawa anaknya, Wan Hakim keluar dari Langkawi. Sejurus itu, tentera Siam menyerang pulau tersebut. Langkawi hancur dan hangus.

Sebelum 1980-an, Langkawi memang tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di sana. Menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur. Ada yang menyatakan kemakmuran itu disebabkan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas pulau Langkawi. Keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah binti Wan Nawawi menetap di pulau Phuket, ketika pertama kali dijejaki.

Kini, pulau yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia.

Perjalanan diteruskan ke Beras Terbakar yang terletak di Padang Mat Sirat. Padang Beras Terbakar merujuk kepada satu tempat kejadian yang dikatakan berlaku sejurus selepas Mahsuri dihukum bunuh, pada 1821, Siam telah datang menjajah Pulau Langkawi.

Dato Karma Jaya telah mengumpulkan beras di Padang Mat Sirat sebagai persediaan menghadapi perperangan, dan apabila mendapati pihaknya tidak mampu mematahkan serangan tentera-tentera Siam, Dato Karma Jaya telah memerintahkan beras-beras tersebut dibakar bagi menghalang beras tersebut dirampas oleh pihak Siam.

Baki beras terbakar itu masih boleh didapati di kawasan Padang Mat Sirat, Kampung Raha. Pada suatu masa dahulu, ramai pelancong yang mengutip beras-beras tersebut. Oleh yang demikian, kawasan tersebut kini dipagar bagi menghalang baki beras terbakar yang semakin sedikit itu daripada habis dikutip para pelancong. Beras-beras tersebut dikatakan disimpan di bawah tanah sebelum dibakar. Bagaimanapun dikatakan bahawa beras terbakar tersebut akan terdedah pada hari hujan.

Di sini juga terdapat rumah melayu yang boleh dilawati. Berdekatan dengan kawasan ini terdapat gerai-gerai yang menjual pakaian, kain batik, kain pelikat, Minyak Gamat, Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan lain-lain lagi. Pada setiap hari Ahad pasar malam akan beroperasi disekitar tempat ini.

Pengalaman di sini benar-benar menggembirakan aku..

~Luv Purple Tulip~

No comments:

Post a Comment